Laman Utama --> Zikir --> Ingat Mengingati --> HUTANG JANGAN SAMPAI MEMBINASAKAN DIRI
HUTANG JANGAN SAMPAI MEMBINASAKAN DIRI PDF Print E-mail
( 0 Votes, Average: 0 out of 5 )
Islam - Ingat Mengingati
Thursday, 04 February 2010 02:10
MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Agama Islam menuntut umatnya bekerja dan berusaha mencari rezeki dalam memenuhi tuntutan kehidupan di dunia ini, baik untuk dirinya mahupun nafkah untuk orang yang di bawah tanggungjawabnya. Namun tidak dinafikan pada zaman ini, keperluan asasi bagi memenuhi kehidupan memerlukan wang yang bukan sedikit sehingga menyebabkan kadangkala orang terpaksa berhutang bagi memenuhi tuntutan-tuntutan tersebut.

Agama Islam tidak melarang umatnya dari berhutang, namun ia bukanlah perkara yang digalakkan. Berhutang itu adalah harus sebagai jalan keluar dari kesempitan dan kesusahan kerana tujuan berhutang hendaklah kerana ada hajat untuk memenuhi keperluan-keperluan asasi seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal bagi keperluan yang selayaknya dan bukan dengan berlebih-lebihan atau membazir.

Sememangnya kita digalakkan supaya memberikan bantuan atau pertolongan kepada sesiapa yang memerlukan, antaranya seperti dengan cara memberi hutang atau pinjaman bagi meringankan beban yang ditanggung oleh orang yang berhutang dalam memenuhi keperluan asasi. Adapun tujuan memberi hutang ialah untuk melepaskan kesusahan orang yang hendak berhutang dan berniat kerana Allah semata-mata, bukan untuk mengambil kesempatan atau peluang mencari keuntungan seperti perbuatan riba, umpamanya orang berhutang BND100, tetapi minta bayaran balik BND120 atau lebih. Perbuatan tersebut adalah zalim, dikutuk oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan hukumnya haram.

Tidak dapat dinafikan pada masa ini terdapat banyak cara orang boleh berhutang, tidak lagi terhad kepada saudara-mara atau sahabat handai, bahkan juga melalui institusi-institusi kewangan yang sememangnya banyak menawarkan kemudahan untuk orang ramai berhutang. Bukan itu sahaja, kini terdapat kaedah berhutang di mana orang boleh membeli tanpa perlu membayar terlebih dahulu, begitu juga dengan kemudahan jual beli dengan menggunakan kad kredit, tetapi kita hendaklah sentiasa beringat bahawa tujuan berhutang tersebut adalah disebabkan keperluan yang mendesak sahaja. Janganlah kita terlalu ghairah menggunakan kemudahan berhutang tersebut sehingga mendorong kita membeli barang-barang yang kurang diperlukan yang menyebabkan berlaku pemborosan, yang akhirnya membebankan diri untuk membayar balik hutang tersebut.

Adalah menjadi kewajipan bagi orang yang berhutang membayar hutangnya itu sebagaimana perjanjian yang telah dipersetujui di antara orang yang memberi hutang dan orang yang berhutang. Kewajipan membayar hutang ini termasuklah bagi pembayaran bil-bil yang tertunggak seperti bil air, bil elektrik, bil telefon dan sebagainya.

Tidak dinafikan terdapat segelintir orang yang berhutang tidak dapat membayar hutangnya disebabkan kewangan yang tidak mencukupi, walau bagaimanapun mereka hendaklah sentiasa berusaha dan mencari ikhtiar bagaimana untuk menjelaskan hutang yang ada. Namun ada juga orang yang tidak menghiraukan hutangnya, mereka memberikan berbagai alasan dari membayar hutang ataupun dengan sengaja melambat-lambatkan dari membayar hutangnya itu. Dalam keadaan ini boleh menyebabkan kesusahan kepada orang yang memberi hutang dan tidak mustahil hubungan kedua-dua belah pihak menjadi renggang dan tidak mesra, yang akhirnya boleh menyebabkan permusuhan. Ketahuilah bahawa Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada menyatakan bahawa orang yang mampu membayar hutangnya, tetapi dengan sengaja melengah-melengahkan pembayarannya maka perbuatan itu merupakan suatu kezaliman.

Apa yang lebih buruk lagi jika seseorang berhutang dengan niat untuk tidak mahu membayarnya, maka Allah Subhanahu Wata'ala akan menyempitkan rezekinya. Perlu diketahui juga bahawa orang yang mati syahid sekalipun jika ia mempunyai hutang, maka dosa hutangnya tidak akan diampunkan selagi hutangnya belum dilangsaikan.

Betapa azabnya orang yang masih menanggung hutang itu apabila ia meninggal dunia, sedangkan ahli-ahli warisnya pula tidak mahu bertanggungjawab untuk menyelesaikan hutang si mati, kerana Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada menyatakan bahawa orang yang mati dalam keadaan masih menanggung hutang, maka rohnya akan terapung-apung di antara langit dan bumi.

Agama Islam tidak menghalang kita berhutang, tetapi adalah elok jika kita dapat mengelakkan diri daripadanya. Perlu diingat, berhutang memanglah senang tetapi membayarnya sangatlah susah. Kerana itu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada mengajarkan doa supaya dilindungi daripada hutang, doa tersebut ialah maksudnya : "Ya Allah sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada dosa dan hutang.''

Ada pun perkara yang biasanya menyebabkan seseorang itu menanggung beban hutang ialah disebabkan kurang bijak mengurus kewangannya, mereka bersikap boros berbelanja, mudah terpengaruh untuk membeli barang-barang yang baru atau suka bergaya dan hidup bermewah-mewah. Islam telah mengajar kita dalam soal berbelanja dan cara mengurus pendapatan dengan cara yang betul iaitu dengan amalan bersederhana yang sudah setentunya boleh menghindarkan kita dari amalan membazir sekali gus menyelamatkan kita dari terperangkap dengan amalan suka berhutang. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Furqaan ayat 67 yang tafsirnya : "Dan juga mereka yang diredai Allah itu ialah yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan sebaliknya perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara itu (boros dan bakhil).''

Oleh itu sebagai seorang Muslim tanamkan dalam diri kita sifat qana'ah iaitu sifat hidup berpada dan bersederhana dalam memenuhi keperluan hidup seharian. Ukurlah baju di badan sendiri, jangan biarkan diri dibelenggu dengan masalah hutang yang banyak sehingga membebankan diri sendiri dan keluarga. Akhirnya sama-samalah kita berdoa semoga kita dimurahkan rezeki dan hidup bahagia di dunia dan di akhirat.

Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al Israa' ayat 26 - 27, tafsirnya : "Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.''

Article Dari :- Pelita Brunei (Khutbah Jumaat 29-01-2010)

Comments

B
i
u
Quote
Code
List
List item
URL
Name *
Email (For verification & Replies)
URL
Code   
ChronoComments by Joomla Professional Solutions
Submit Comment
 
FREE PALESTINE


Visitors

Total: 13017



JoomlaWatch Stats 1.2.9 by Matej Koval